PDRM tunggu kelulusan Thailand untuk ekstradisi Sajat

0
1

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Thailand untuk mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Sajat ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata selain Thailand permohonan itu juga dihantar kepada negara ketiga yang dipercayai menjadi lokasi seterusnya individu yang dikehendaki terbabit.

“Pada masa ini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya dari pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga iaitu Australia sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan.

“Sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa,” katanya memetik Utusan Online.

Abd Jalil berkata, polis akan meneruskan proses membawa pulang kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

Beliau berkata, permohonan tersebut akan dibuat dalam tempoh masa terdekat.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan Sajat memohon kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Malah, usahawan itu dilaporkan sedang dalam proses menunggu kelulusan dari negara ketiga berkenaan.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here