Isu dasar kabotaj negara bukan sekadar perdebatan politik – Guan Eng

0
2
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berbohong apabila mengatakan dia tidak berani berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.

Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Menteri Kewangan itu berkata, dia sudah menerima cabaran Ahli Parlimen Ayer Hitam berkenaan di Parlimen.

“Ka Siong telah meneruskan pembohongannya dengan mengatakan bahawa saya tidak akan berani berdebat dengannya walaupun saya telah menerima cabarannya di Parlimen.

“Ini bukan sekadar perdebatan politik yang dicabar oleh Ka Siong dengan marah terhadap saya yang disertakan dengan serangan peribadi toksik.

“Ini bersangkut paut dengan masa depan digital negara kita. Kita perlu melindungi anak muda negara dan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng turut mempersoalkan sekiranya Kabinet akan membuat keputusan mengenai dasar kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut pada bulan ini, mengapa debat tidak boleh diadakan pada 23 Oktober ini.

“Penjelasan versi Ka Siong tidak dipersetujui oleh industri berteknologi tinggi apabila syarikat gergasi digital antarabangsa telah berulang kali menulis surat kepada bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang untuk membantah.

“Mereka membantah keengganan dan kedegilan Ka Siong untuk memberikan pengecualian kabotaj kepada kerja pembaikan kabel dasar laut,” katanya.

Terdahulu Ka Siong dalam satu kenyataan semalam, berkata beliau tidak akan lari daripada berbicara atau berdebat dengan Guan Eng berhubung isu dasar kabotaj.

Beliau meminta Guan Eng bersabar kerana dasar itu akan dibahaskan di Parlimen bulan ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here