PRN Melaka: Idris sahut cabaran, sedia lawan Mohamad Ali

0
1

DATUK Seri Idris Haron sedia menentang Ketua Umno Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu menjelaskan, beliau sedia menyahut cabaran Mohamad Ali dan menegaskan peluang seharusnya diberikan kepada anak tempatan bagi menjadi wakil rakyat di DUN itu.

“Saya tidak angkuh tapi yang pastinya saya akan mencari siapa yang mencabar saya, mungkin dia (Mohamad Ali) berminat di Sungai Udang.

“Mengapa tidak kita beri peluang anak tempatan untuk menjadi wakil rakyat Sungai Udang kali ni dan saya pula akan mencari di mana dia bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

Semalam, Mohamad Ali dilaporkan mencabar Idris untuk bertanding melawannya dalam PRN Melaka jika dilaksanakan.

Jelas Mohamad Ali, cabaran itu dibuat bagi menentukan siapa pemimpin yang akan dipilih oleh rakyat jika kedua-dua mereka bertanding di kerusi DUN yang sama.

Sementara itu, mengulas pemecatan keahlian Umno terhadapnya dan Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kerana melanggar tata etika parti, Idris berkata, tindakan perlu diambil kepada pemimpin yang mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang.

“Umno boleh mengambil tindakan kepada ahli yang melanggar tata etika parti, namun ia mestilah istiqamah, jangan ada hukuman terpilih.

“Pengerusi Perhubungan dan Timbalannya mengadakan perbincangan dengan DAP, kononnya nak menyelamatkan kerajaan yang hampir tumbang dengan pelbagai tawaran.

“Sedangkan pada masa sama, tiada siapa hubungi saya dan YB Azman, sehingga YB Azman terlantar sakit pun tidak diberi perhatian.

“Bagaimana dengan dasar Umno yang mengatakan ‘No DAP, No Anwar’? Saya yakin mereka akan selamat dari sebarang tindakan, hak untuk didengar dan ‘natural justice’ tidak dihayati nampaknya,” jelas Idris lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here