PEMANDU kenderaan mewah Lamborghini yang terlibat dalam kemalangan bersama enam lagi kenderaan di Jalan Tun Razak 8 September lalu, didenda RM9,000 dan penjara wajib dua minggu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata tertuduh berusia 42 tahun itu mengaku bersalah kerana memandu secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil pertuduhan, pemandu motokar mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM9,000, penjara wajib dua minggu dari tarikh ditangkap.
“Sekiranya gagal membayar denda, akan dikenakan lima bulan penjara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sarifudin berkata, pemandu terbabit juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun.
“Kesalahan diendorskan pada lesen memandu serta dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan tanpa lesen memandu,” katanya.
Pada 8 September lalu, Malaysiapost melaporkan beberapa kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah kereta mewah Lamborghini di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang di ibu negara.
Kejadian jam 8.40 pagi itu, berlaku apabila Lamborghini dipandu lelaki berumur 42 tahun dikatakan gagal mengawal kenderaan mewah tersebut untuk berhenti sebaik tiba di lokasi kejadian. – Malaysiapost

