AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, sudah merakam percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya mengenai penyelewengan royalti pasir di Melaka.
Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad, berkata pihaknya sudah merakam percakapan wakil rakyat berkenaan dalam pertemuan selama kira-kira dua jam di satu lokasi dalam daerah Melaka Tengah, petang semalam.
Menurutnya, segala maklumat direkodkan dan dihantar ke ibu pejabat SPRM untuk dianalisis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Saya mengesahkan kami telah berjumpa dengan pihak beliau dan telah mengambil beberapa maklumat untuk diperincikan oleh ibu pejabat.
“Maklumat itu dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi di ibu pejabat dan setakat ini tiada lagi dokumen diambil,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian
Menurutnya, berhubung penglibatan individu lain dalam kes tersebut perkara itu juga akan diputuskan pengurusan atasan.
“Kompleksiti maklumat ini agak tinggi, jadi semua tindakan lanjut akan ditentukan oleh ibu pejabat.
“Tindakan SPRM juga lebih kepada berjumpa dengan beliau untuk ambil maklumat bukan keterangan, jika keterangan, ini bermakna kita menyiasat dia,” katanya.
Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan memandang serius dakwaan Idris berhubung isu pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka. – Malaysiapost

