Ops Skuter: MPKB kompaun pengusaha, pemain skuter

0
2

MAJLIS Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan tiga kompaun kepada pengusaha skuter kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Operasi bermula jam 10 malam hingga 1 pagi tadi di sekitar ibu negeri Kelantan itu turut merampas 15 skuter.

MPKB menerusi kenyataan di Facebooknya memaklumkan operasi bersepadu Ops Skuter itu dijalankan bersama pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MPKB-BRI mengeluarkan tiga kompaun kepada pengusaha skuter kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen, manakala pihak JAHEAIK mengeluarkan lapan kompaun ke atas pemain skuter kerana berpakaian dan berkelakuan kurang sopan di khalayak,” katanya.

Menurut MPKB, dalam operasi sama. PDRM turut mengeluarkan 18 kompaun trafik ke atas tujuh motorsikal, tiga kereta dan lapan basikal.

“Di samping itu, pihak PDRM memberi penerangan mengenai salah laku menunggang skuter di jalan raya. Majlis menyeru masyarakat terutama ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti sosial anak masing-masing demi kebaikan bersama,” katanya.

Operasi itu melibatkan 10 anggota Bahagian Penguatkuasa, MPKB-BRI; 11 kakitangan dari Jabatan Pembangunan Islam, MPKB-BRI; 11 anggota trafik PDRM dan 25 anggota JAHEAIK. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here