Beri peluang pemimpin muda pulihkan Melaka

0
2
Ketua Armada Bersatu Melaka, Afiq Nazmi.

BERI peluang kepada pemimpin baharu yang muda dan lebih bertenaga menjayakan dasar Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk kebaikan ekonomi Melaka, kata Ketua Armada Bersatu Melaka, Afiq Nazmi.

Afiq berkata, segala fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha untuk memulihkan negara dan negeri daripada pandemik Covid-19.

Menurutnya, berdasarkan krisis politik di Melaka sewajarnya Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menzahirkan sokongan kepada calon Ketua Menteri yang baharu, jika ada jumlah sokongan mencukupi.

“Bagaimanapun bagi menghormati proses demokrasi, Perlembagaan negeri dan keputusan yang dibuat Tuan Yang Terutama (TYT), kami dan jentera akan bersiap sedia menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tarikhnya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afiq berkata, pihaknya tidak mahu menyentuh isu politik berkenaan Umno kerana ia melibatkan perselisihan peribadi dan politik dalaman parti itu antara mereka sendiri.

Katanya, sewajarnya isu tersebut diselesaikan terlebih dahulu kerana kegagalan itu membuatkan rakyat lebih muak dan jelik terutama anak muda dengan sikap buas pemimpin yang hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata.

“Bagaimanapun ungkapan ‘No DAP No Anwar’ dan tindakan Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membuat pendedahan mengejutkan apabila mengakui Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘meminta nyawa’ dengan DAP bagi menyelamatkan kerajaan negeri Melaka daripada runtuh.

“Ia dikesali kerana tindakan tersebut juga bersifat mementingkan kuasa melebihi nyawa, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Melaka lantas mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka,” katanya.

Selasa lalu, Yang di-Pertua Negeri Melaka bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.

Ia susulan empat Adun kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyaksikan kerajaan negeri sedia ada kehilangan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here