LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengesan kegiatan mencemarkan air berpunca daripada penternakan lembu dan biri-biri di Jalan Sungai Ingat, Kampung Bandar Banting.
Kegiatan itu dikesan LUAS hasil siasatan di lokasi kejadian susulan aduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Langat pada 30 September lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, LUAS memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di bawah Peraturan 6 (1).
Tindakan itu dibuat atas kesalahan memasuk atau melepaskan bahan pencemar daripada Aktiviti Berjadual (Penternakan Lembu dan Biri-biri) ke dalam Sungai Permatang Pasir dan di bawah Seksyen 107(b) kerana menjalankan aktiviti abstraksi air (air permukaan) di sungai tersebut.
“Pihak LUAS telah mengarahkan penternak menjalankan penyelenggaraan di tiga kolam kumbahan dan meninggikan lagi ban di antara kolam.
“JPV Kuala Langat juga telah mengarahkan penternak menggunakan produk ‘Effective Microbes’ (EM) dalam air minuman dan makanan ternakan, kandang ternakan serta kolam kumbahan bagi meningkatkan penguraian sisa, seterusnya boleh mengurangkan pencemaran air dan bau.
“Orang awam dimohon untuk melaporkan segera kepada LUAS sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

