BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendakwa prestasi fiskal lemah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dahulu menyebabkan kerajaan kini terpaksa menaikkan had hutang negara ke 65 peratus.
Menurutnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbelanja RM600 bilion tanpa kesan yang nyata dan kini kerajaan kekurangan wang untuk meningkatkan bantuan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Fiskal kerajaan baharu yang bermesyuarat minggu lalu telah memutuskan akan mengusulkan kenaikan had hutang negara ke 65 peratus di Parlimen bagi memberi lebih ruang fiskal untuk pakej bantuan rakyat.
“Sejak awal tahun ini saya telah beberapa kali saran untuk naikkan had hutang ini bagi membantu rakyat setelah melihat prestasi fiskal kerajaan PN dahulu lemah.
“Akhirnya akan dibuat tak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Najib berkata, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya diturunkan ke 48.7 peratus.
Menurutnya, ia berjaya dilakukan setelah defisit kerajaan diturunkan bagi lapan tahun berturut semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
“Lalu hutang dinaikkan oleh kerajaan PH ke sekitar 54 peratus (iaitu sedikit ke bawah had hutang negara 55 peratus) masa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang setelah mereka banyak berbelanja.
“Seterusnya, kerajaan PN naikkan had hutang negara dalam parlimen ke 60 peratus pada bulan Ogos lalu (akibatnya, hutang negara telah naik dari RM600b sebelum PRU14 ke lebih RM1 trilion sekarang).
“Dan had hutang ini akan dinaikkan sekali lagi ke 65 peratus,” katanya.
Beliau mendakwa difitnah membankrapkan negara sebelum PRU14 dan ramai tertipu dengan propaganda berkenaan, walaupun realitinya kekayaan negara berjaya dinaikkan dari RM800 bilion pada 2008 ke RM2 trilion sebelum PRU14.
“Dulu mereka fitnah saya bankrapkan negara tapi keseluruhan dana melebihi RM6 bilion untuk membiayai program vaksin Covid-19 pun diambil dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang dibina dari RM4 bilion ke RM17 bilion masa saya PM,” katanya. – Malaysiapost

