Tengah malam pun saya boleh jumpa pegawai SPRM – Idris

0
2

DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Melaka sedia bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembolotan projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut. 

Mereka ialah Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. 

Idris berkata, beliau tiada masalah untuk berbuat demikian kerana mendakwa mempunyai bukti bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan, lapor Harian Metro. 

“Saya bersedia pada bila-bila masa, tengah malam pun saya boleh jumpa pegawai SPRM kalau mereka ingin berjumpa saya di Melaka. Jangan ingat saya cakap suka-suka atau cakap kosong saja berkenaan korek pasir laut,” katanya. 

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau dan Idris menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali Isnin lalu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan royalti pasir. 

“Kami buat ini bukan kerana tidak dapat projek korek pasir atau seumpamanya, kami tidak ada kepentingan peribadi. Sebaliknya kami tidak sanggup melihat perkara itu berleluasa hingga mengancam masa depan anak cucu kita,” katanya. 

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu memusnahkan fail berkaitan projek mengorek pasir bagi mengelak penyelewengan dikesan pihak berkuasa. 

Bagaimanapun, beliau yakin masih ada bukti yang boleh diperoleh pegawai SPRM jika melakukan siasatan menyeluruh berkaitan dakwaan itu. 

SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan akan bertemu dengan Idris berhubung dakwaan penyelewengan projek berkaitan royalti pasir di Melaka. 

Menurut SPRM, pihaknya memandang serius dakwaan isu pembolotan projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di negeri berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here