Kerjasama syarikat penerbangan antarabangsa bagi promosi Malaysia – MOTAC

0
2

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyasarkan kerjasama syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan kembali kemasukan pelancong dari Asia Barat ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, beliau telah mengadakan pertemuan hari ini bersama beberapa wakil pengurusan dan agensi jualan, melibatkan empat syarikat penerbangan antarabangsa Asia Barat.

“Ia merupakan usaha menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

“Empat syarikat penerbangan yang terlibat ialah Qatar Airways, Saudi Arabian Airlines, Air Arabia dan Emirates Airline,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasaran Asia Barat kekal menjadi penyumbang utama apabila mencatatkan sejumlah 309,224 ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada tahun 2019 dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM10.214 bilion.

Katanya, pelancong dari Asia Barat mendominasi lima kedudukan tertinggi dari segi perbelanjaan per kapita selain mencatatkan purata tempoh penginapan yang lebih panjang di negara ini berbanding pelancong dari pasaran lain.

“Pada kebiasaannya, kita menerima ramai pelancong dari Asia Barat khususnya ketika musim panas. Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia telah merencatkan pelancongan antarabangsa pada tahun 2020.

“Namun begitu, pada masa ini kita sedang bersedia untuk mengalu-alukan kembali ketibaan pelancong antarabangsa khususnya dari Asia Barat ke Malaysia dalam suasana persekitaran yang lebih selamat,” jelasnya.

Tambahnya, antara perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuk strategik dan perancangan untuk mempromosi Malaysia bagi menarik kemasukan pelancong antarabangsa dari pasaran lain seperti Eropah, Amerika dan Afrika dengan menggunakan jaringan rangkaian syarikat penerbangan masing-masing.

“Pada pertemuan itu, wakil syarikat penerbangan tersebut juga menunjukkan minat tinggi untuk bekerjasama serta melahirkan tanda penghargaan atas komitmen Malaysia bagi meningkatkan kemudahsampaian pelancong ke negara ini sebaik pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here