RUU 355: DAP mohon penjelasan Wan Junaidi

0
1

DAP meminta penjelasan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai pengusulan semula penggubalan dua Rang Undang-Undang (RUU) yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad, semalam.

Ia membabitkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2021 (RUU Kawalan).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata usul undang-undang berkenaan sebelum ini ditolak oleh Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Namun, katanya, perkara itu diusulkan semula Idris di Parlimen dan menjadi persoalan di manakah jaminan Wan Junaidi bahawa beliau akan menolak sekiranya ia diusulkan.

“Soalan akan terus diajukan adakah undang-undang yang dicadangkan oleh PAS ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan? Di manakah jaminan dari menteri Undang-undang yang sebelum ini telah menolak kerajaan untuk mengusulkan undang-undang ini?

“Wan Junaidi harus menjelaskan, terutamanya apabila kerajaan Sabah dan Sarawak secara terbuka menyatakan penentangan mereka terhadap cadangan PAS,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng berkata, rakyat tetap tidak yakin dengan jaminan Idris di Parlimen semalam bahawa hak kebebasan beragama orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan cadangan RUU355 dan RUU Kawalan.

“Sejak PAS memutuskan untuk melepaskan diri dari pemimpinnya Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, dari segi politik, toleransi dan penghormatan kepada orang bukan Islam, parti itu telah mengambil dasar permusuhan terhadap orang bukan Islam.

“Lebih jauh lagi, ekstremisme PAS ditonjolkan dengan sokongan mereka terhadap pemerintah Taliban di Afghanistan, yang menolak peluang pendidikan dan pekerjaan kepada wanita.

“Idris Ahmad mendakwa undang-undang baru yang dicadangkan ini hanya ditegakkan kepada umat Islam, ia seperti rang undang-undang untuk menyekat penyebaran agama-agama bukan Islam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here