124 penerima ditawar Rumah IKRAM Keluarga Malaysia

0
1

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menyerahkan kunci kepada sembilan penerima manfaat Rumah IKRAM Keluarga Malaysia yang akan mula menduduki kediaman di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Selangor.

Seramai 124 penerima Kumpulan Pertama telah ditawarkan untuk mendiami Rumah IKRAM Keluarga Malaysia secara berperingkat bermula 4 Oktober ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan memaklumkan 55 penerima adalah terdiri daripada Ketua Isi Rumah Wanita.

“Sejak dibuka, inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia ini terus mendapat sambutan menggalakkan. Sehingga 5 Oktober 2021, KPKT telah menerima 690 permohonan dan 310 dari permohonan tersebut adalah permohonan terdiri dari Ketua Isi Rumah Wanita,” katanya.

Inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 September lalu, antara lain bertujuan memberi penampan atau cushion kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dan kehilangan tempat berteduh akibat kesan pandemik Covid-19.

Menurut KPKT, penerima manfaat rumah IKRAM Keluarga Malaysia akan menikmati sewaan kediaman serendah RM124 bagi tempoh maksimum dua tahun.

“Pengecualian bayaran sewaan untuk enam bulan pertama juga akan diberikan kepada penerima. Di samping itu, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian bayaran sewa sehingga akhir tahun 2022 bagi penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT.

“Bagi memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia khususnya golongan B40 yang terkesan akibat pandemik, KPKT menyediakan 1,000 unit kediaman di kawasan PPR sedia ada termasuklah di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor bagi fasa 1 sebagai langkah permulaan.

“KPKT telah menerima cadangan tambahan Rumah Ikram Keluarga Malaysia sebanyak 877 unit PPR lagi di bawah Kerajaan Negeri Johor dan 30 unit
PPR di bawah kerajaan Perak,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini, boleh diajukan ke talian hotline Jabatan Perumahan Negara (JPN), KPKT di 03-8891 4475. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Reezal Merican Naina Merican

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here