KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersetuju membeli ubat melawan Covid-19, Molnupiravir sebagai persediaan negara melangkah ke fasa endemik dan hidup bersama virus itu tidak lama lagi.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan hari ini menandatangani surat perjanjian dengan syarikat Merck Sharp and Dhome untuk mendapatkan ubat antivirus Molnupiravir bagi rawatan Covid-19.
“Kami akan terus menambahkan lebih banyak pilihan rawatan inovatif baharu, sebagai sebahagian senjata untuk menjadi negara yang tahan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam lain.
“Kajian dijalankan Merck Sharp and Dhome mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Khairy menjelaskan, melalui perjanjian itu kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej perubatan rawatan lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.
“KKM juga akan memantau perkembangan ubat-ubatan berkaitan rawatan Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara tidak ketinggalan untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia,” katanya.
Khairy juga menegaskan, sekalipun ubat Molnupiravir berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi.
“Fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah jangkitan daripada menjadi lebih teruk.
“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti. Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19.
“Ia sekali gus memberi impak lebih besar dalam usaha pencegahan dan dan kawalan penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Open Access Government

