[PARLIMEN] KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyelesaikan kajian dalam usaha menggubal Akta Warga Emas, sebagai persediaan menuju negara tua pada 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, draf Rang Undang-Undang Warga Emas itu sedang disusun, bertujuan melindungi hak dan kebajikan warga emas termasuk penyediaan hak, penjagaan, perlindungan, pemerkasaan dan sokongan yang merangkumi keluarga dan komuniti.
“KPWKM juga komited memastikan kesejahteraan warga emas dengan meneruskan usaha bersepadu bagi mempertingkat penjagaan, perlindungan dan sokongan supaya warga emas menjadi anggota masyarakat sihat, aktif dan produktif,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, ekosistem yang menyokong warga emas produktif turut diwujudkan melalui peluasan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di 222 Parlimen di bawah projek RMKe-11 dan RMK-12.
“Sehingga kini, 143 PAWE ditubuhkan meliputi 131 Parlimen dan memberi manfaat kepada 49,675 warga emas,” katanya.
Selain itu, Siti Zailah berkata, sehingga Ogos lalu, 513,054 orang terdirigolongan miskin dan miskin tegar serta mereka yang memerlukan diberi bantuan bulanan, dengan peruntukan sebanyak RM1.6 billion.
“JKM sentiasa menggalas tanggungjawab bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar terus dibantu bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

