RUU pindaan MA63 dibentang di Parlimen

0
1

[PARLIMEN] RANG Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan peruntukan sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bacaan kali pertama dijadual pada 26 Oktober dan diikuti bacaan kali kedua pada 28 Oktober.

“Ketika Pejabat Peguam Negara sedang meneliti peruntukan undang-undang berkenaan, kami sudah mengambil langkah mengadakan libat urus membabitkan pemegang taruh seperti ahli Parlimen, Pemimpin Sabah dan Sarawak dan peguam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bergantung kepada proses libat urus berkenaan, Wan Junaidi menyasarkan mesyuarat khas membabitkan MA63 akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 21 Oktober ini, disusuli pembentangan kertas kerja khas MA63 kepada Jemaah Menteri, pada 22 Oktober.

Beliau berkata, berdasarkan garis masa tentatif kementerian, Pejabat Peguam Negara dijadual selesai meneliti cadangan rang undang-undang terbabit untuk dibentangkan kepada Ahli Parlimen, dijangka pada 25 Oktober ini.

Wan Junaidi berkata, penjelasan membabitkan pindaan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan adalah penting bagi memberi perincian terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak, termasuk rakyat terutama penduduk asal kedua-dua negeri.

“Selama bertahun-tahun hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 terhakis, jami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan meminda beberapa peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here