KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan iklan tawaran pemberi pinjaman wang menawarkan skim ‘Pinjaman KWSP’ oleh pihak tidak bertanggungjawab yang tular di laman web dan media sosial.
Menerusi kenyataan hari ini, KPKT mengesan iklan-iklan yang menyasarkan pemilik akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menggunakan nama Syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen atau Kredit Komuniti berdaftar di bawah KPKT.
Menurut KPKT, iklan-iklan itu menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 5 hingga 7 peratus sebulan, jauh melebihi kadar faedah ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu.
Pada masa sama, kata kenyuataan itu, maklumat pinjaman juga mencurigakan yang dipercayai bertujuan untuk memperdaya orang ramai.
“KPKT memandang serius penularan maklumat dan iklan ini yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan imej dan kredibiliti sektor Kredit Komuniti bahkan memberi implikasi negatif kepada orang ramai, khususnya peminjam yang terjebak dengan aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
“Sehubungan itu, KPKT menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penawaran skim pinjaman yang seringkali mengaitkan Syarikat Kredit Komuniti berlesen di bawah KPKT.
“Urusan dengan pihak Kredit Komuniti hanya boleh berlaku dalam premis perniagaan berdaftar dan sah sahaja,” katanya.
Menurut KPKT, orang ramai perlu sentiasa mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perjanjian dan tidak menandatangani sebarang perjanjian kosong.
KPKT juga menegaskan, mana-mana Syarikat Kredit Komuniti berlesen didapati terlibat dengan pinjaman mengelirukan atau mengenakan kadar faedah tinggi boleh dikenakan tindakan tegas, selaras Seksyen 17A Akta 400 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.
“Sebarang aduan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 atau hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost

