MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menasihati pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya susulan gangguan bekalan selama empat hari bermula 13 Oktober ini.
Amirudin berkata, pengguna di kawasan terjejas juga boleh merujuk laman hentitugas.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat berkaitan.
“Kerja-kerja ini tertangguh sejak tahun 2019 dan penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu.

“Pengguna dinasihat menyimpan bekalan air secukupnya dan merujuk laman hentitugas.airselangor.com bagi segala maklumat berkaitan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran sama, beliau berkongsi info grafik notis hentitugas.airselangor.com di laman Facebooknya.
Sebelum ini, media melaporkan, sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 13 Oktober ini
Gangguan itu susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1)
Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan, kawasan itu melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. – Malaysiapost

