Najib gesa PRN Melaka ditangguhkan

0
3
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan tindakan empat ADUN Melaka yang berkomplot menumbangkan kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, hakikatnya situasi itu boleh diselesaikan secara dalaman, namun kini dengan apa yang terjadi ia sudah terlambat.

“Amat kecewa dengan dua ADUN Umno, seorang ADUN PPBM (Bersatu) dan seorang ADUN bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka.

“Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak.

“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama.

“Pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” katanya.

Kelmarin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman tumbang kerana hilang sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here