Gambar palsu, Radzi nafi langgar SOP

0
1

MENTERI Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin menafikan tuduhan beliau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial ketika mengadakan sidang media di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu pada 3 Oktober lalu.

Radzi memaklumkan foto yang ditularkan oleh seorang pengguna Facebook mengenai perkara berkenaan adalah palsu.

“Saya dimaklumkan tentang satu hantaran FB yang tular bersama sekeping gambar yang menunjukkan seolah-olah langsung tiada penjarakan fizikal sewaktu saya mengadakan satu sidang akhbar.

“Seingat saya, selain Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan EXCO Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat, tiada sesiapa berada di sebelah ketika sidang media di SM Sains Dungun pada 3 Oktober 2021,” katanya menerusi Facebook.

Radzi berkata, beliau sudah membuat laporan polis mengenai tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan.

“Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu.

“Tindakan berniat jahat pemilik akaun tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab. Laporan polis telah pun dibuat.

“Pohon sahabat semua dapat kongsikan penjelasan ini,” katanya.

Dalam tangkap layar yang disertakan dalam hantaran berkenaan, individu berkenaan mendakwa Radzi tidak mematuhi SOP penjarakan sosial ketika program lawatan di sekolah itu.

Menurut pemilik akaun FB berkenaan, sebagai individu yang sering mengingatkan mengenai pematuhan SOP, Radzi didakwa gagal menjadi contoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here