RM965.3 bilion setakat Ogos, hutang kerajaan terkawal

0
2
Bendera jalur gemilang berkibar di sekitar Kuala Lumpur ketika tinjaun Malaysiapost hari ini.

[PARLIMEN] KEDUDUKAN hutang kerajaan ketika ini kekal terkawal meskipun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej-pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata pada akhir Ogos lalu, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, hutang statutori pula yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.

“Ia masih di bawah 60 peratus daripada KDNK ditetapkan,” katanya pada sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar berkata perbelanjaan oleh kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat, namun beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang termasuk melaksanakan reformasi fiskal.

Katanya, ini termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

Langkah itu, jelasnya, merangkumi kajian dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai dan menambah baik pentadbiran cukai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here