Nurul Huda Abhar
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan jika orang ramai benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, ketika menyuarakan pandangan itu berkata, Malaysia kini ke arah endemik yang mana banyak kelonggaran akan diberikan kerajaan apabila imuniti kelompok atau ‘herd imunity’ dicapai.
“Malaysia sudah ke arah endemik. 88 peratus kadar vaksinasi (setakat hari ini) bermakna golongan individu yang telah divaksin memberi gambaran herd imunity telah berlaku. Kebarangkalian untuk komplikasi akibat Covid-19 akan berkurang.
“Katakan jika pilihan raya diadakan, ia boleh dilakukan dengan mengamalkan beberapa SOP lebih ketat dan bersyarat,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Dr Hanafiah berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRN boleh diadakan dengan penekanan dari beberapa aspek penting yang boleh menjadi punca penyebaran virus tersebut.
Katanya, kerajaan perlu belajar daripada PRN Sabah pada September tahun lalu, dan mengelak kesilapan sama berulang sehingga menyebabkan lonjakan kes harian mencecah lima angka.
“Sebagai contoh kita kena faham Covid-19 amat ‘gemar’ suasana yang padat, terlalu ramai orang berkumpul. Senario sebegitu perlu dielak terutama untuk pilihan raya. Masalah berkenaan pilihan raya bukanlah berpunca ketika mengundi, tetapi kesilapan semasa berkempen seperti berlalu pada PRN Sabah.
“Pertama, bila berkempen masalah utama apabila individu duduk dalam satu tempat sama beramai-ramai, dan ada yang bagi ucapan dan sebagainya.
“Keduanya kesilapan semasa berkempen adalah pemberian saguhati. Ketika itu ramai yang akan bagi bantuan makanan, wang dan lain-lain menjadikan orang ramai berpusu-pusu untuk mengambil pemberian itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk mengelak perkumpulan orang ramai semasa berkempen secara fizikal, maka sesi tersebut boleh ditukarkan secara maya dan calon-calon boleh menggunakan semua platform dalam talian untuk memancing undi.
Jelas Dr Hanafiah, bagi mengelak keadaan sesak ketika pemberian saguhati atau sumbangan, ia boleh ditukar dengan individu itu menghantar sendiri sumbangan tersebut dari rumah ke rumah.
Selain itu katanya, orang ramai perlu terus mengamalkan pemakaian pelitup muka dua lapis, jaga jarak fizikal, pakai cecair pembasmi kuman serta kerap membasuh tangan .
“Saya yakin jika kita pegang dengan konsep ini, apa jua aktiviti tidak kira pilihan raya atau sebagainya kita boleh lakukan,” katanya.
Terdahulu hari ini, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.
Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Proklamasi Pembubaran DUN akan diwartakan hari ini. – Malaysiapost

