PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Melaka yang mengkhianati parti akan dipecat
Beliau berkata, tindakan itu wajar kerana mereka hilang sifat taat setia kepada Umno.
“Bagi Adun Barisan Nasional (BN) dan Umno, yang mengkhianati kerajaan dipimpin oleh BN dan Umno Melaka, saya harap mereka bersedia untuk menerima tindakan daripada parti bagi menerima surat pemecatan kepada mereka.
“Saya merasakan persoalan utama sebagaimana berlaku di peringkat nasional dan beberapa negeri, wakil rakyat sama ada Adun atau Ahli Parlimen hendaklah fokus terhadap taat setia kepada parti, terutama ketika parti dinakhodai oleh Umno dan BN,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap langkah-langkah bijak dari segi politik difikirkan sebelum melakukan keputusan yang memudaratkan parti.
“Malah pentadbiran harus ditangani dengan sebaik-baiknya oleh Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka,” katanya.
Semalam, dua Adun Umno antara empat wakil rakyat yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyebabkan kerajaan negeri sedia ada tumbang.
Kedua-duanya ialah Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Harun serta Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), selain Adun Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Malaysiapost

