Cadangan PRN Melaka pentingkan diri sendiri

0
3

KENYATAAN Presiden Umno bahawa perlunya Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menyelesaikan kemelut politik di Melaka disifatkan seperti kebudak-budakan dan mementingkan diri tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat.

Ketua Penerangan PKR Melaka, Muhammad Asri Ibrahim berkata semasa krisis pertukaran kerajaan di Perak misalnya, kepimpinan Umno terutama Presiden Umno, tidak mencadangkan diadakan PRN sepertimana cadangan yang dibuat kepada Melaka.

“Adakah disebabkan Menteri Besar Perak yang dilantik ketika ini adalah proksi Presiden Umno sehingga berlaku cadangan tidak konsisten?

“Persoalan ini harus dijawap oleh Presiden UMNO kerana bahana kepada PRN akan membawa kesan buruk dalam tempoh pandemik Covid 19 seperti mana berlaku di PRN Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sewajarnya mandat dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Muhammad Asri berkata memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat demi kepentingan politik adalah sehina-hina bentuk percaturan politik yang perlu ditolak oleh rakyat.

Beliau juga yakin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan bersetuju dengan idea separuh masak dilontarkan Presiden Umno dalam keadaan negara menuju jalan keluar pemulihan pandemik ketika ini.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia dilaungkan Perdana Menteri, persaingan politik ini perlu dilihat sebagai satu persaingan politik sihat di padang yang rata dan mandat rakyat yang telah diterima oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 perlu dikembalikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here