VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abd Samad menyifatkan situasi politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ibarat jongkang jongket.
Beliau berkata, ketidakstabilan politik negara boleh menyebabkan kedudukan sesebuah kerajaan yang dibentuk tidak dapat dijamin keutuhannya.
“Keadaan selepas PRU14 agak sesuai untuk politik ‘jongkang-jongket’. Bergerak sekumpulan akan terjongket satu kerajaan. Hari ni di atas, esok di bawah.
“Ia berlaku di pusat, dah tiga kerajaan. Berlaku juga di negeri-negeri. Dua kali. Hanya Melaka nak masuk ke tiga kerajaan,” katanya di Facebook, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian susulan krisis politik yang melanda Melaka ketika ini.
Hari ini, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Adun Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan Melaka.
Susulan itu, kerajaan negeri yang dipimpin Sulaiman hanya mempunyai 13 kerusi di DUN Melaka berbanding PH yang memiliki 11 kerusi.
Ini bermakna Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti mudah di DUN Melaka yang mempunyai keseluruhan 28 kerusi.
Pada masa sama, Shahrir membidas tindakan itu yang menyifatkan berpunca angkara ‘nafsu’ yang melangkaui ideologi dan perjuangan politik.
Katanya, jalan terbaik untuk menghentikan politik jongkang-jongket ini adalah dengan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Baik dibubarkan DUN Melaka. Syok sangat elit kita berpolitik, baik serah kembali mandat kepada rakyat. Mungkin adanya kestabilan,” katanya.-Malaysiapost

