PEMANDU dan penumpang kereta Perodua Myvi terlibat dalam insiden seorang wanita jatuh dari kenderaan itu supaya membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata berdasarkan rakaman dari kereta lain yang tular di media sosial mendapati kejadian berlaku jam 2.40 petang, Ahad lalu.
“Siasatan awal mendapati dalam klip video tersebut, sebuah kenderaan Myvi telah memperlahankan kenderaan serta memasang lampu kecemasan ketika sampai di persimpangan lampu isyarat Jalan Unisel Seksyen 7 Shah Alam.
“Kemudian didapati seorang wanita telah cuba keluar dengan membuka pintu kereta tersebut menyebabkan dia terjatuh keluar semasa kereta Myvi itu masih lagi bergerak perlahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Baharuddin, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana individu berhubung kejadian video yang tular dalam laman media sosial.
“Justeru, wanita serta pemandu kereta Myvi berkenaan diminta supaya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
“Saksi awam mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Pada masa yang sama, orang ramai disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta kes yang tepat terhadap video yang tular ini,” katanya.
Rakaman berdurasi seminit itu menunjukkan kereta yang bergerak perlahan ketika menghampiri simpang lampu isyarat.
Bagaimanapun tiba-tiba pintu kereta Myvi di sebelah penumpang hadapan dibuka dan seorang wanita terjatuh dalam keadaan terduduk atas jalan raya sebelum kereta Myvi diberhentikan serta-merta. – Malaysiapost

