PEREKA grafik kontroversi, Fahmi Reza ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung lukisan karikatur Perdana Menteri yang kini tular di laman media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata pereka grafik ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira pukul 4 petang.
“Saya sahkan kira-kira pukul 4 petang tadi pihak polis telah memanggil Fahmi Redza untuk dirakamkan percakapan berkaitan isu lukisan karikaturnya yang tular baru-baru ini.
“Beliau telah datang bersama peguam dan telah ditahan untuk siasatan lanjut namun telah diberi jamin polis setelah keterangan dirakam,” katanya dipetik Kosmo.
Menurut Ashari, pihak polis telah menerima satu laporan berhubung penularan karikatur tersebut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, Mohd Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin menerusi satu ciapan di laman Twitter telah memaklumkan tentang penahanannya itu susulan penularan lukisan karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.– Malaysiapost

