KIRA-KIRA sembilan tahun akan datang Malaysia akan menjadi sebuah negara tua (aged nation).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berkata mengikut unjuran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (PBB) 15 peratus penduduk Malaysia pada 2030 adalah golongan warga emas iatu berusia 60 tahun dan ke atas.
“Penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat menjadi faktor utama,” menurut KKM dalam ciapan Twitter, hari ini.
Dalam ciapan berlainan, KKM menasihat rakyat untuk mengamal gaya hidup sihat untuk menjadi warga emas yang sihat.
“Jaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat agar anda menjadi warga emas yang sihat dan gembira.
“Berhenti merokok, lakukan senaman setiap hari, makan secara sihat, kekalkan berat badan ideal, pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Jaga kesihatan diri tanggungjawab sendiri,” menurut KKM.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan akan terus memberi perhatian khusus terhadap warga emas sebagai persediaan bagi menghadapi status negara tua menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peratus warga emas (melebihi umur 60 tahun) dijangka meningkat secara drastik iaitu kepada 5.3 juta dalam masa 10 tahun akan datang. – Malaysiapost

