‘Kenyataan rasis terhadap atlet negara perbuatan keji, terkutuk’ – Ka siong

0
1

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kesal dengan tindakan segelintir ahli politik yang tidak peka apabila menggunakan bahasa berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.

Malah, beliau menyifatkan perbuatan itu keji dan tidak menghormati perbezaan kaum di Malaysia.

“Sekarang sudah pun tahun 2021. Sedih bila melihat masih ada segelintir pihak yang menggunakan bahasa berbaur perkauman. Lebih teruk, ia keluar dari mulut ahli politik.

“Menghambur kata-kata berbaur perkauman terhadap atlet negara yang bertungkus-lumus mengharumkan nama negara adalah perbuatan yang amat keji dan terkutuk.

“Tidak menghormati perbezaan kaum dan menghina kaum lain sepatutnya tidak berlaku lagi dalam sebuah masyarakat majmuk yang merdeka berpuluh tahun lamanya seperti Malaysia. Apa yang berlaku ini jauh sekali daripada semangat Keluarga Malaysia yang inklusif dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya menerusi Facebook.

Menurutnya, pemain badminton perseorangan wanita negara itu sepatutnya dihargai kerana beliau telah berusaha keras bersama pasukan Malaysia sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir dalam kejohanan Piala Sudirman.

“Ini pencapaian yang membanggakan kerana kali terakhir kita berada di pentas separuh akhir adalah pada 12 tahun lepas!

“Malah, beliau juga pernah merangkul kejuaraan dalam enam kejohanan yang disertainya di pentas antarabangsa sebelum ini. Saya yakin beliau akan terus berjaya dan cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Naib Ketua Bersatu Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim memuat naik status di Facebook menyentuh isu perkauman selepas Kisona tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here