Kenyataan rasis: Naib Ketua Bersatu Pasir Puteh mohon maaf

0
1

NAIB Ketua Bersatu Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung statusnya di Facebook yang menyentuh isu perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona, kelmarin.

Beliau berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk merendah-rendahkan mana-mana individu atau kaum ketika menulis status di media sosial.

“Saya tidak berniat menghina kaum India dengan panggilan tersebut, ia sebaliknya bahasa percakapan di Kelantan yang merujuk kepada orang India. Ini adalah satu kekhilafan yang telah saya lakukan tanpa mengkaji kesannya.

“Dengan ini saya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada yang terkesan akibat posting tersebut. Saya juga akan memperbaiki sikap saya kelak,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Terdahulu dalam satu permohonan maaf bertulis ditandatanganinya yang tular di media sosial, Borhanuddin turut menawarkan diri melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Bersatu Bahagian Pasir Puteh demi menjaga nama baik parti diwakilinya.

Hari ini tular dalam media sosial tulisan perkauman oleh ‘Borhan Che Rahim’ terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland semalam.

Tulisan tersebut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan warganet terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here