Tiada keperluan untuk terus buka PPV mega – KJ

0
1

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur ditutup secara rasminya malam tadi.

Beliau berkata, keputusan penutupan PPV itu dibuat selepas sebahagian rakyat negara ini sudah menerima vaksinasi.

Katanya, kewujudan PPV mega sudah mencapai matlamatnya untuk memberi vaksin kepada rakyat dalam jumlah yang besar setiap hari.

“PPV mega seperti WTCKL ini sudah mencapai matlamat dan hari ini kita tutup PPV yang paling banyak memberikan vaksinasi di Malaysia.

“Kita juga pada masa ini sedang menutup PPV lain secara berperingkat mengikut keperluan di sesebuah kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas secara simbolik menutup pintu PPV AstraZaneca Malaysia di WTCKL, malam tadi.

Sebanyak 1.2 juta dos vaksin diberikan di PPV berkenaan sepanjang beroperasi selama 150 hari sejak 5 Mei lalu.

Khairy berkata, beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak.

Beliau berkata, kementeriannya akan bermesyuarat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membincangkan supaya beberapa PPV lain terus dibuka khusus untuk mereka yang masih belum menerima vaksin atau warga asing.

Dalam pada itu, Khairy berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang berkhidmat di PPV itu.

“Paling istimewa sekali di Lembah Klang, angka jangkitan sudah mula menurun dengan sangat mendadak selepas hari ini kita lihat jumlah kes 9,000 sehari berbanding kemuncaknya semasa saya baru dilantik ada lebih 23,000 kes.

“Ini sebab anda semua, apa yang anda buat selamatkan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus PPV WTC dan Lembah Klang Dr Husni Za’eem Abdul Hadi, 35, berkata PPV Mega itu yang khusus dalam memberi vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca, melalui cabarannya tersendiri dalam melaksanakan proses vaksinasi kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, menguruskan pemberian sejumlah 18,000 dos vaksin sehari adalah antara pengalaman berharga yang beliau tidak akan lupakan.

“Memang ada perasaan gembira, sedih dan bangga, serta pengalaman berharga bercampur baur bagi semua petugas di sini. Kami juga hadapi cabaran membabitkan rang ramai yang hadir di sini dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pengawalan khalayak.

“Ini kerana kami pernah menguruskan sejumlah 18,000 dos vaksin dalam tempoh sehari,” katanya.

Dr Husni Za’eem turut berkongsi gembira atas kejayaan PPV Mega tersebut dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi, di samping menjadi panduan pada masa akan datang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here