MPN bincang isu biaya, modal bantu peniaga buka semula perniagaan

0
2

MASALAH dihadapi peniaga terutama mengenai masalah biaya dan modal untuk membuka semula perniagaan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 antara isu yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara isu lain yang akan dibincangkan dan dicari jalan penyelesaiannya adalah isu tenaga kerja.

Menurutnya, isu-isu terbabit antara maklum balas yang diterima daripada para peniaga dalam sesi lawatan singkatnya ke Sabah, hari ini.

“Saya menerima maklum balas daripada para peniaga mengenai masalah biaya dan modal untuk membuka semula perniagaan mereka selain isu tenaga kerja.

“Insya-Allah, perkara yang mereka bangkitkan ini akan saya bawa ke mesyuarat MPN akan datang untuk dibincangkan dan dicari penyelesaiannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Muhyiddin berkata, sebelum menamatkan lawatan singkat ke Sabah hari ini, beliau meluangkan masa meninjau sendiri para peniaga di kawasan Sembulan, Kota Kinabalu.

“Rata-rata perniagaan mula dibuka, selari dengan peralihan Sabah ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Julai lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

“Sabah yang telah mencapai kadar vaksinasi lebih 70 peratus dijangka beralih ke Fasa 3 PPN tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik pembukaan sektor ekonomi ketika ini, pihaknya sedar banyak industri di Sabah masih terkesan selagi sektor pelancongan belum boleh dijalankan sepenuhnya.

“Sekarang ini, kadar vaksinasi di peringkat nasional telah mencapai 87.2 peratus dan dijangka mencecah 90 peratus dalam tempoh kurang seminggu lagi.

“Apabila angka ini dicapai, rentas negeri akan dibenarkan dan saya berharap mampu merancakkan semula sektor pelancongan di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here