Rakyat Malaysia boleh ke luar negara mulai Disember

0
1

SETELAH sekian lama terperap di rumah, rakyat Malaysia sudah boleh bersiap sedia untuk melakukan perjalanan ke luar negara menjelang Disember, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Memetik laporan Mingguan Malaysia hari ini, Perdana Menteri bagaimanapun berkata tarikh pembukaan sempadan negara mungkin berlaku lebih awal, bersama dengan pergerakan rentas negeri iaitu apabila kadar vaksinasi penduduk dewasa di negara ini mencecah 90 peratus. 

“Ya, Disember. Mungkin awal lagi. Kita akan buka rentas negeri. Rentas negara pun boleh dibuka apabila mencapai 90 peratus sudah divaksin. 

“Rentas negeri pun tidak lama lagi sebab sekarang sudah mencapai 85.5 peratus, bermakna lagi dua minggu sudah boleh buka rentas negeri,” kata Ismail Sabri selepas pertemuan bersama beberapa editor kanan di Parlimen Khamis lalu. 

Setakat semalam, peratusan terkini populasi dewasa di Malaysia yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 adalah 87.2 peratus atau 20,418,495 individu, iaitu hanya 2.9 peratus lagi untuk mencecah 90 peratus. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata orang ramai tidak lagi perlu memohon My­TravelPass (MTP) sebaik sahaja perjalanan merentas negara kembali dibenarkan. 

“Kita tidak perlu lagi daftar MyTravelPass untuk keluar negara tetapi kuarantin masih sama,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata kerajaan dalam perbincangan dengan Singapura untuk membenarkan kemasukan pekerja harian dari Johor yang akan meneruskan rutin harian mereka. 

“Kita meneruskan perbincangan sebab kita ada dua, Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) ini Singapura yang hentikan, bukan kita. Saya pun sudah pergi ke Johor minggu lepas, saya sudah minta Menteri Besar berbincang dengan Singapura untuk RGL dibuka. 

“Tetapi yang lebih penting perjalanan harian pekerja, beratus ribu orang. Masih lagi Singapura belum buka. Ini penting sebab ada yang ulang alik dari Johor Bahru, tiba-tiba tidak dibenarkan masuk. Mereka yang menderita ini sudah setahun lebih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here