POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan Op Patuh diseluruh negara sehingga mendapat arahan lanjut berhubung pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sehingga kini PDRM mempunyai 3,432 Pasukan Pematuhan Op Patuh di seluruh negara dengan kekuatan 14,959 pegawai dan anggota yang bertugas.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan secara berterusan di kawasan kilang, tapak pembinaan, asrama penempatan pekerja dan juga premis perniagaan.
“PDRM turut dibantu agensi lain membabitkan keseluruhan pasukan yang melaksanakan Op Patuh ketika ini adalah 3,723 pasukan.
“Pemeriksaan menumpukan kepada mereka yang tidak mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan juga dari segi pelanggaran SOP,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, dari segi pemeriksaan yang dibuat secara keseluruhan sejak Op Patuh dimulakan iaitu pada 25 Jun lalu hingga sekarang, sebanyak 2,002,937 pemeriksaan telah dijalankan.
“Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 7,740 kompaun dikeluarkan dan 4,622 premis diarahkan tutup.
“Ini adalah tindakan yang diambil kepada pihak yang melanggar SOP yang dikesan dalam Op Patuh setakat ini,” katanya.
Mazlan menasihatkan semua pihak agar mematuhi SOP dan arahan yang ditetapkan supaya dapat memutuskan penularan Covid-19 ketika ini.
“Tujuan penguatkuasaan adalah bagi memastikan keselamatan rakyat daripada wabak Covid-19 dan operasi berterusan akan dijalankan sehingga PDRM mendapat arahan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

