Zolkeples tak dapat dihubungi sejak Jumaat

0
1

BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, Selangor, dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak Jumaat lalu.

Difahamkan, Allahyarham yang tinggal sendirian tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN di Bukit Jalil kelmarin, menyebabkan beberapa pegawai MSN cuba menghubunginya namun tidak berhasil sebelum menghubungi polis.

Berita pemergian tokoh sukan negara itu dikongsi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan daripada bekas pembantu peribadi Zolkeples pada jam 8.31 pagi tadi yang memaklumkan Allahyarham gagal dihubungi sejak malam kelmarin.

Katanya, Allahyarham ditemui meninggal dunia di rumah dua tinggal yang didiaminya seorang diri.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dan pada tubuh badan tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Tiada sebarang kesan pecah masuk atau pergelutan ditemui di tempat kejadian.

“Arwah akan dibawa ke Masjid Sri Petaling untuk pengurusan jenazah dan akan dikebumikan di Kampung Sura, Dungun Terengganu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati mengejut (SDR) dan punca sebenar kemarian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, menurut keluarganya, arwah yang tidak pernah berkahwin pernah membuat pembedahan jantung kira kira 10 tahun lalu dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu.

“Menurut keluarga lagi, kali terakhir arwah membuat swab test Covid-19 adalah pada Jumaat lalu dan keputusan keputusan adalah negatif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here