SEBANYAK 17 kerusi ditandingi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bertembung sesama sendiri selepas selesai penamaan calon, hari ini.
Kerusi paling banyak bertembung adalah yang ditandingi PBS membabitkan 15 kawasan.
Jumlah itu meningkat tujuh kerusi berbanding lapan kerusi ketika PBS mengumumkan calonnya sebelum ini.
Ia berikutan tindakan parti itu menambah tujuh lagi kerusi untuk bertanding menjadikan jumlah kerusi ditandinginya meningkat kepada 22 berbanding 15 seperti diumumkan sebelum ini.
Parti itu bertanding di Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kapayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting.
Tujuh lagi kerusi yang ditambah hari ini ialah Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan dan Tulid.
Calon PBS di semua tujuh kerusi berkenaan bertembung dengan calon PN daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) selain BN yang diwakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Umno.
Calon parti itu turut bertembung dengan calon Umno di Bengkoka, Tanjung Aru, Telupid dan Melalap, manakala bertembung dengan PBRS di Matunggong, Tandek dan Kadamaian selain calon MCA di Kapayan dan Karamunting.
Selain itu, calon Umno turut bertembung dengan calon Star di Paginatan, manakala PBRS bertembung dengan Star di Sook dan Tulid. -Malaysiapost

