JAWATANKUASA Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial akan bertemu Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bagi membincangkan tentang keperluan penambahan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK).
Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada Khamis lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah membentangkan mengenai status perluasan Mahkamah JSKK.
Menurutnya, terdapat keperluan mendesak bagi menambah mahkamah berkenaan susulan peningkatan bilangan kes yang tinggi direkodkan di setiap negeri.
“Saya selaku pengerusi dan beberapa ahli Jawatankuasa Pilihan Khas ini berhasrat dan akan memohon untuk membuat kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.
“Ia termasuk meningkatkan bilangan perjawatan khusus pegawai kehakiman gred Jusa C bagi Hakim Mahkamah JSKK, membangunkan kapasiti dan memperkuatkan kerjasama pelbagai agensi untuk mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa berkenaan juga merumuskan perkara lain selepas mendengar pembentangan daripada beberapa agensi terbabit.
“Bagi pembentangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai Penubuhan Suruhanjaya Bebas Kanak-Kanak (SBKK), ahli jawatankuasa telah bersetuju memberikan tempoh dua minggu untuk diselesaikan sebelum dibawa semula ke dalam mesyuarat seterusnya.
“Pembentangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga pula memaklumkan tiga jawatankuasa kerja telah dibentuk dibawah Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JMKRT),” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan adalah Jawatankuasa Advokasi dan Pembangunan Kapasiti; Jawatankuasa Perlindungan; dan Jawatankuasa Data yang menjadi model yang baik dalam menampilkan sinergi antara agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat.
“Hala tuju penubuhan Jawatankuasa ini bagi tujuan memperhalusi tindakan serta mekanisme perlaksanaan dan pengendalian kes secara holistik dan efektif termasuk menambahbaik aspek advokasi, perlindungan dan pelaporan data.
“Mesyuarat bersepakat untuk melibatkan ahli-ahli Jawantankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial sebagai pemerhati di dalam JMKRT,” katanya.
Azalina berkata, bagi mesyuarat yang akan datang Jawatankuasa Pilihan Khas juga telah mencadangkan agar menjemput NGO dan pihak berkepentingan lain untuk turut hadir ke dalam perbincangan seterusnya.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua ahli dan pihak yang terlibat dan hadir memenuhi jemputan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas.
“Semoga peranan dan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan diperkasakan dan dimartabatkan lagi,” katanya. – Malaysiapost
11:44

