4 peratus lagi imunisasi untuk rentas negeri – KJ

0
1

NEGARA semakin hampir untuk membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi membabitkan individu dewasa kini mencapai tahap 86 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairi Jamaluddin, berkata dengan perkembangan itu, negara kini berbaki empat peratus sahaja lagi untuk mencapai tahap 90 peratus, sekali gus membolehkan kebenaran rentas negeri diberikan.

“86% penduduk dewasa telah diberi vaksin lengkap. 4% lagi untuk kebenaran rentas negeri.

“Dengan mobiliti yang lebih besar (akibat kebenaran rentas negeri), akan ada lebih banyak perjumpaan,” ciapnya di Twitter hari ini.

Justeru, Khairy mengingatkan rakyat untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan untuk mengelak penularan wabak.

“Kita perlu bertanggungjawab atas tindakan kita. Sekiranya anda mengalami simptom dapatkan kit ujian dan lakukan ujian. Sekiranya positif, asingkan diri dengan segera,” katanya.

Sementara itu, menerusi portal COVIDNOW hari ini, sebanyak 62.4 peratus atau 20,389,622 keseluruhan populasi di negara ini sudah lengkap divaksinasi sehingga tengah malam tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 72.4 peratus pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi populasi dewasa pula, seramai 20,317,843 atau 86.8 peratus sudah lengkap vaksinasi, manakala 1,741,486 atau 7.4 peratus belum lengkap divaksinasi dan 1,350,271 atau 5.7 peratus tiada vaksinasi.

Selain itu, seramai 3,255,715 atau 10 peratus populasi negara ini direkodkan belum lengkap divaksinasi, manakala 9,012,063 atau 27.6 peratus lagi tiada vaksinasi.

Sebanyak 237,245 dos vaksin diberikan semalam dengan 103,021 bagi dos pertama dan 134,224 dos kedua sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 43,933,988 dos.

Portal itu juga memaklumkan, Lembah Klang yang tertinggi apabila 81.4 peratus populasinya lengkap divaksinasi, diikuti Negeri Sembilan (70.6), Labuan (67.9), Sarawak (66.2), Perlis (65.2) dan Pulau Pinang 64.9 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here