CITF-A minta maaf kes remaja disuntik picagari kosong

0
2

PASUKAN Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) mengesahkan berlaku kes seorang remaja disuntik menggunakan picagari kosong ketika proses vaksinasi dijalankan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM).

Pengerusi CITF-A, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kejadian itu berlaku membabitkan remaja lelaki berusia 12 tahun pada jam 3.16 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal oleh ProtectHealth mendapati petugas kesihatan (penyuntik) telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan.

“Setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, beliau meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada satu video yang tular sejak semalam, menunjukkan rakaman proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun menggunakan picagari kosong oleh seorang penyuntik.

Beliau berkata, selepas selesai, petugas kesihatan berkenaan menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM serta segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut.

“Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

“Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan,” katanya.

Dr Noor Azmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan 1, menyifatkan kejadian yang berlaku sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’ dan memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat di atas kesulitan yang berlaku. .

“Petugas kesihatan yang berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan. Ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya.

Terdahulu tular satu video berdurasi kira-kira seminit dimana seorang petugas kesihatan menunjukkan picagari berisi vaksin namun memberi suntikan picagari kosong kepada seorang remaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here