‘Jangan takut ambil vaksin, anak saya rebah kerana terlalu gementar’

0
3

IBU kepada remaja yang videonya tular selepas dilaporkan rebah sejurus mengambil vaksin, menasihati orang ramai supaya tidak takut untuk mengambil imunisasi berkenaan.

Ulfah Amat Daris, 41, berkata keadaan anaknya itu bukan disebabkan kesan vaksin berkenaan tetapi kerana terlalu gementar.

“Jangan takut ambil vaksin, anak saya rebah kerana terlalu gementar, bukan kerana kesan sampingan vaksin Covid-19,” katanya seperti dilapor AstroAwani.

Ulfah turut kecewa dengan insiden tular membabitkan anak bongsunya yang didakwa ‘longlai’ selepas mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang semalam.

Malah, ujar ibu empat anak itu, anaknya Muhammad Azim Hassan, 13, hanya terlalu gementar untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

Menceritakan hal itu, katanya, pagi sebelum kejadian, anaknya sempat bersarapan dua bungkus nasi lemak sebelum dia bersama suami menemani remaja itu ke PPV berkenaan.

Jelasnya, anaknya itu mengakui pada mulanya gementar untuk disuntik, bagaimanapun memandangkan adik beradiknya yang lain sudah menerima suntikan vaksin lebih awal, dia teruja untuk ke PPV dan tidur awal pada malam sebelum kejadian.

Katanya, bagaimanapun selepas selesai sesi pemantaun selama 30 minit, anaknya rasa tidak sedap badan dan hampir rebah ketika sedang berjalan di ruang parkir sehingga dia terpaksa meminta bantuan anggota bertugas.

Namun, dia kecewa apabila kejadian itu disalah tafsir sehingga ada yang mendakwa anaknya rebah kerana kesan sampingan vaksin Covid-19 berkenaan.

“Akak kecewalah sebab mereka tidak tanya pada kita dan sebar yang bukan-bukan. Selepas itu, ada yang kata tidak tidur, padahal anak saya tidur cukup, makan cukup sebelum pergi, memang akak suruh makan.

“Yang paling akak kecewa, dia kata anak akak sudah meninggal dunia, sampai macam itu sekali.

“Akhirnya anak akak mengadu dia malu dengan berita tular yang bukan-bukan itu. Yang sebenarnya dia terlalu takut,” katanya

Dalam kejadian semalam, tular satu klip video berdurasi 36 saat di laman Facebook memaparkan pelajar lelaki berusia 13 tahun itu longlai dipercayai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Encore, Klebang, Melaka.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here