
KEPERLUAN vaksinasi lengkap untuk makan di kedai atau dine-in kekal bagi semua fasa pemulihan, iaitu hanya untuk individu yang lengkap divaksinasi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan peraturan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu khususnya melibatkan negeri-negeri Fasa Tiga tidak tepat kerana belum dikemaskini.
“Peraturan yang dikeluarkan oleh MKN tidak dikemaskini. Keistimewaan dine-in untuk semua fasa pemulihan hanya kepada mereka telah menerima vaksin sepenuhnya,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Khairy juga memaklumkan kenyataan penuh berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihak yang berkenaaan.
Terdahulu tular di media sosial semua individu bagi negeri-negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dine-in susulan SOP dikeluarkan MKN yang tidak dikemaskini.
Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur beralih ke Fasa Tiga PPN mulai hari ini. – Malaysiapost
