SETELAH hampir setahun ditutup, Muzium Negara serta semua muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan kembali beroperasi mulai esok.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, berkata kesemua muzium tersebut mula dibuka pada jam 9 pagi hingga 4 petang kecuali Isnin pertama pada setiap bulan.
Beliau berkata mulai esok hingga 8 Oktober ini, kemasukan adalah percuma.
“Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kita hanya benarkan 60 orang pelawat dalam satu-satu masa sahaja.
“Untuk esok tempahan telah diterima yang mana bagi sesi dari jam 9 hingga tengah hari telah penuh. Kita telah menerima tempahan melalui sistem e-tempahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi walkabout sempena pembukaan semula Muzium Negara hari ini. – Malaysiapost

