VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan beliau bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk jika didapati bersalah atas dakwaan pengubahan wang haram atau tidak mengisytihar ‘pendapatan’ kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu, berkata pendiriannya sama seperti ketika beliau didatangi pegawai Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hujung 2019 dengan notis kompaun terhadap RM1 juta yang diterimanya melalui cek Datuk Seri Najib Razak pada November 2013.
“Saya memberitahu pegawai SPRM itu bahawa yang ada pada saya selama 46 (tahun) memegang berbagai jawatan dalam dan di luar kerajaan adalah integriti dan nama baik saya.
“Saya sudahpun 70 tahun ketika itu. Kalaupun saya didapati salah atas dakwaan pengubahan wang haram/tak istihar ‘pendapatan’ ke LHDN, ianya keputusan yang saya rela hadapi kerana saya telah terpilih untuk menghadapinya,” katanya.
Jelas Shahrir lagi, pada usia selanjut itu beliau tidak lagi perlu ‘mengejar’ masa hadapan kerana yang penting adalah meninggalkan nama baik.
“Maka, pilihan saya, sehingga hari ini ialah untuk mempertahankan masa lampau saya. Ianya adalah asas kepada nama baik saya,” katanya.
Kenyataan Shahrir itu susulan menjawab pertanyaan ramai sama ada beliau akan melakukan perkara sama yang dibuat Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kes yang dihadapi Setiausaha Agung Umno itu.
“Apabila keluar berita Datuk Ahmad Maslan telah dibebaskan oleh mahkamah tinggi dari pendakwaan dibawah AMLA setelah membayar kompaun (atau memulangkan RM1.1juta), saya juga ditanya oleh rakan-rakan samada saya akan lakukan yang sama,” jelasnya.
Pada 21 Januari 2020, bekas Pengerusi FELDA itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib.
Mengikut pertuduhan, Shahrir dituduh membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013.
Kesalahan itu bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013. – Malaysiapost

