Cadangan jambatan ketiga Pulau Pinang tak masuk akal – PAS

0
2

PAS membantah pembinaan jambatan ketiga yang dicadangkan kerajaan Pulau Pinang bagi menggantikan Projek Terowong Dasar Laut yang telah lama tidak dilaksanakan.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata cadangan itu tidak masuk akal kerana rakyat akan berisiko mengalami lebih banyak kerugian, merujuk kepada rekod kelemahan pengurusan dan kredibiliti kerajaan negeri dalam mengurus projek mega.

“Hal ini dibuktikan apabila kos RM305 juta mahu dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut sedangkan projek itu telah tertangguh berikutan kes perbicaraan di mahkamah melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan projek ini.

“Perkara ini menjadi petunjuk kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak kompeten dalam mengurus pembangunan projek mega tersebut.

“Justeru, kemajuan negeri terbantut disebabkan kegagalan ini. Selain itu, kerajaan negeri seharusnya meneliti aspek persekitaran, ekonomi sosial dan lain-lain kesan sebelum meneruskan sebarang perancangan pembangunan negeri seumpama ini,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Kamaruzaman berkata, PAS menggesa supaya projek-projek mega yang merugikan rakyat seperti jambatan ketiga, terowong dasar laut dan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) tidak dilaksanakan.

“Sebaliknya tumpuan dan fokus kepada pembangunan mampan dalam menghadapi era endemik, agenda pemulihan ekonomi dan pengawalan Covid-19 mestilah diutamakan,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga namun ia belum lagi dipertimbangkan.

Jelasnya, sebarang pertimbangan berhubung perkara itu hanya akan dilakukan selepas kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here