Tindakan ini tak melemahkan saya – Lokman Adam

0
1
Datuk Lokman Noor Adam

“APAPUN tindakan yang saya terima, ia tidak sedikitpun akan melemahkan semangat untuk membela nasib rakyat, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata demikian selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual di media sosial.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata beliau akan tetap berjuang menegakkan yang hak dan menentang yang batil.

“Terutamanya kezaliman yang dilakukan oleh polisi yang mewujudkan dua kasta yang memecahbelahkan rakyat yang telah menerima suntikan dengan belum lengkap dua dos (vaksin Covid-19).

“Diskriminasi dan paksaan ke atas rakyat yang tidak lengkap dua dos perlu dihentikan segera dan hak rakyat yang dijamin Perlembagaan perlu dihormati,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Telegram.

Terdahulu beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan meminta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 10.55 malam, 3 Mei lalu, Lokman melayari Facebook menggunakan profil akaun Lokman Adam dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam menyebarkan berita tidak benar berhubung kemasukan warga India penyebab penyebaran Covid-19.

Hantaran itu dilihat pada 9 Mei jam 4.40 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan Facebook menerusi akaun sama dengan niat menyebabkan kebimbangan orang awam menyebarkan berita tidak benar melibatkan seorang pegawai polis di Pahang yang meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin Covid-19.

Hakikatnya, beliau meninggal dunia bukan berpunca daripada vaksin tetapi serangan jantung.

Hantaran itu pula dilihat pada 11 April jam 8.55 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here