
AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa pelbagai kezaliman dilakukan pihak tertentu terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Kenyataan itu susulan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam, memaklumkan kos baik pulih Seri Perdana sebanyak RM38.5 juta adalah termasuk perolehan perabot berikutan aset perabot sedia didakwa milik Najib yang telah dipindah keluar.
“Rupanya macam macam kezaliman yang dilakukan terhadap Najib.
“Bila meletop kos baik pulih Seri Perdana cecah RM38.5 Juta, Muhyiddin kata, tindakan Najib pindah perabot milik sendiri antara puncanya,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Mohd Puad menjelaskan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, Najib hanya diberi beberapa jam sahaja untuk mengosongkan Seri Perdana.
“Nak pindah perabot milik sendiri dari Seri Perdana rupanya hanya diluluskan pada 18 November 2020? Buruk sungguh layanan kepada bekas seorang Perdana Menteri?
“Lepas kalah pilihanraya, Najib hanya diberikan beberapa jam untuk kosongkan Seri Perdana. Mohon pindah perabot milik sendiri pada Ogos 2018. Hanya dijawab pada Oktober 2020,” katanya.
Dalam nada sinis, Mohd Puad berkata, Najib sedia memberi secara percuma perabot berkenaan kepada Muhyiddin.
“Najib sudah offer, dia boleh bagi free kalau ada niat mahu gunakannya. Tapi sayang, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri,” katanya.
Semalam, Muhyiddin memberi penjelasan berhubung kerja-kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana dan mengakui, kelulusan baik pulih itu diberi semasa pentadbirannya.
Muhyiddin memberi lapan penjelasan mengenai perkara itu, ia termasuk perolehan perabot memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana didakwa milik Najib yang telah dipindah keluar. – Malaysiapost
