MKT putuskan tiada pemilihan jawatan Umno

0
2

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan tiada sebarang pemilihan jawatan akan dilaksanakan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Umno sehingga 29 Disember 2022.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Bulanan MKT yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Menurutnya, dalam mesyuarat berkenaan beberapa ketentuan telah dibuat iaitu tarikh-tarikh untuk diadakan persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

“Persidangan Umno Cawangan adalah pada 15 Oktober hingga 30 November 2021; Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian pula, diiadakan serentak seluruh negara pada 11 dan 12 Disember 2021 (Sabtu & Ahad).

“Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian juga diadakan serentak seluruh negara pada 18 Disember 2021 (Sabtu), manakala PAU 2021 akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022 (Khamis-Sabtu).

“Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana ROS telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti Umno sehingga 29 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi Covid-19 di kawasan masing-masing.  

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minima satu perempat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu perempat asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

Ahmad berkata, MKT juga komited mendokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dengan mengharapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta inisiatif membantu rakyat dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat.  

“MKT juga berharap agar krisis kesihatan dan krisis ekonomi dapat diselesaikan seberapa segera agar rakyat dapat hidup dalam suasana Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.” katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Jubli Intan 75 Tahun Umno, beliau memaklumkan akan diadakan Majlis Anugerah Tokoh Umno Negeri-Negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here