‘Dalang bocor data peribadi 4 juta rakyat adalah pengkhianat’

0
1

INDIVIDU yang menjadi dalang sindiket menjual dan membocorkan maklumat dan data peribadi empat juta rakyat Malaysia adalah pengkhianat negara.

Exco Pemuda Perikatan Nasional (PN), Sayed Amir Muzzakkir Ai Aydrus, berkata mereka yang terbabit dalam kegiatan itu wajar diberi hukuman setimpal kerana melakukan kesalahan besar yang tidak boleh di kompromi.

“Pemuda PN memohon agar semua agensi yang menggunakan data myIDENTITY daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) segera pertingkat langkah dan protokol keselamatan.

“Ia bagi mengelakkan kebocoran data berulang dan dengan mudah dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PN memuji dan berpuas hati tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri, JPN, Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan agensi berkaitan menyiasat dakwaan berkenaan.

“Menurut JPN, siasatan dalaman mendapati tiada kebocoran data berlaku dalam sistem di JPN. Malah, JPN juga mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini. 

“Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa dalang kebocoran data peribadi ini adalah kerja orang dalam yang berada dalam beberapa agensi kerajaan yang berkongsi perkhidmatan Sistem myIDENTITY JPN,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket berkenaan membantu menyalurkannya kepada pihak berkuasa agar dalang kes tersebut dapat segera ditangkap dan dihadap ke muka pengadilan. 

“Menjual, membocorkan empat juta data peribadi adalah satu kesalahan besar yang tidak boleh di kompromi, wajar diberi hukuman setimpal. Mereka yang melakukan perkara seperti ini wajar digelar pengkhianat negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan kebocoran maklumat serius apabila empat juta data peribadi awam kononnya diperoleh melalui laman sesawang LHDN ditawarkan untuk dijual.

Kebocoran data peribadi awam itu didakwa membabitkan Application Programming Interfaces (API) yang dihasilkan untuk myIDENTITY di bawah seliaan JPN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here