‘Saya tak pernah duduk di Seri Perdana sepanjang jadi PM’ – Muhyiddin

0
1

KEPUTUSAN membaik pulih Seri Perdana dibuat bagi memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin berkata, keputusan itu diluluskan beliau ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri Mac tahun lalu, selepas mengambil kira laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, kerosakan berkenaan melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. 

“Selain itu, kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

“Malah, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang. 

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera,” katanya menerusi Facebook.

Beliau yang kini Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, berdasarkan laporan diterima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi bekas Perdana Menteri ke-6 telah dipindah keluar.

“Oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal. 

“Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk memastikan proses baik pulih ini dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri.

“Saya percaya Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here