PENGANJURAN Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) serta Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) akan dikaji secara teliti berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menjelaskan perbincangan dengan pihak industri dan syarikat berkepentingan dari luar negara akan diadakan untuk menjayakan pameran itu.
Jelas Hishammuddin, keputusan penganjuran pameran tidak hanya berdasarkan kepada pertimbangan kementerian sendiri kerana suasana jangkitan akan menentukan pembabitan industri berkaitan.
“Kita kena berdoa dan hari ini kita lihat keadaan Covid-19 di negara ini bertambah pulih. Pada masa sama, kita kena berinteraksi dengan semua pihak terbabit untuk menjayakan kedua-dua pameran berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan LIMA tetap tidak akan diadakan pada tahun ini walaupun ada permintaan untuk ia dilaksanakan secara maya.
Ismail Sabri dilapor berkata, keputusan untuk mengadakan pameran LIMA pada 2023 masih lagi dikekalkan.
DSA pula yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2020 ditunda hampir dua tahun ke tarikh baharu iaitu 28 hingga 31 Mac 2022. – Malaysiapost

